Sabtu, 3 September 2011

CERPEN.

BICARA SANG FIKIR.
OLEH:EDRIS HJ.BIJIN

Lihat itu apa yang tergantung di sudut dinding.Beberapa buah catan yang berhabuk dan nampak terbiar. Malah ada dua atau tiga catan yang sedang tergantung tanpa tajuk. Tidak terurus. Ia seperti sebuah kehidupan yang tewas oleh perjalanan masa. Dan sebuah catan yang masih tersangkut di atas easel itu juga tidak pernah selesai. Mungkin sudah lima atau enam bulan keadaannya begitu. Catan itu masih belum kelihatan tanda-tanda untuk menjadi sebuah karya. Ia tidak mungkin berupaya menceritakan sebuah kehidupan selagi ia tidak diberikan nafas. Apa yang dapat memberikan nafas padanya. Mungkinkah dengan titik dan garisan, ruang, bentuk, warna dan cahaya. Atau adakah itu masih tidak mencukupi. Apakah ada elemen-elemen lain yang patut menjadi pelengkap sehingga sempurnanya sebuah karya. Nafas itu bermakna kehidupan.Siapa yang patut memberinya kehidupan? Kehidupan yang akan mewarnai catan yang sedang sakit ini?

Sesungguhnya Fikir amat simpati melihat keadaan tuannya yang sedemikian itu. Tuannya seperti seorang yang sedang kehilangan sesuatu yang berharga dalam kehidupannya. Kehilangan itu menjadikan dirinya tumpul untuk meneruskan hidup dalam karyanya. Dan ini adalah satu hakikat yang tidak begitu menyenangkan Fikir. Dia perlu membantu dan merawat tuannya. Dengan keberhasilan usaha ini Fikir sangat berharap dia berupaya mengembalikan kehidupan tuannya sebagai seorang yang tajam pengamatan,kritis dan lebih pemikir dalam karya-karya yang dihasilkannya. Fikir merasakan itu adalah tanggungjawab yang wajib dilakukan untuk tuan yang dikaguminya itu.

Maka Fikir pun cuba berfikir semudah yang mungkin agar jawapannya pun nanti mudah ditemukan. Dan sepantas itu juga Fikir terfikir tentang Tangan. Pandangan asasnya bahawa tugas-tugas itu adalah tanggungjawab Tangan. Tangan itu adalah sang penari yang lincah. Kanvas itu lantai pentas yang telah sebati dengan kehidupannya. Maka sebab itulah si Tangan tangkas mempersembahkan apa jua lenggok dan rentak tarinya yang bagai tidak pernah mati kerana kehabisan langkah. Dia penari yang tersohor dan hampir seluruh hidupnya dihabiskan dengan melintuk-liukkan tubuhnya dengan calitan pelbagai warna yang memberi nafas kepada kehidupan sebuah karya. Betapa menyerlahnya kehebatan sang Tangan menari. Tarinya menggubah warna, mencipta bentuk, mencorak garisan, menyambung titik dan mengolah cahaya. Maka terpancarlah sebuah karya yang menjadi santapan mata dan minda. Demikianlah kelazimannya Tangan dan itu kedengarannya sangat mudah. Tetapi persoalannya semudah mana pada hakikat sebenarnya. Fikir menggelengkan kepala. Pandangan itu agak keterlaluan untuk Tangan dan tidak adil untuk kerabat yang lain.

Akhirnya Fikir mengambil keputusan untuk tidak terlalu mengagung-agungkan kehebatan sang Tangan. Tangan bukanlah sesempurna mana. Dia bukan siapa-siapa. Dia tak akan dikenal sebagai penari yang lincah untuk tarian yang indah tanpa rentak yang hebat. Rentak dan gerak yang hebatlah membuatkan si Tangan kelihatan seperti alunan ombak yang sentiasa mesra dan indah membuai pandangan di atas permukaan birunya lautan.

Di mana lahirnya rentak dan gerak. Fikir masih terus bertanya diri. Rentak dan gerak menjadi nadi buat sang penari kelihatan hebat seperti luncuran sang burung yang terbang di awan. Ia meluncur dan terbang tanpa batas dan halangan. Ia ringan, lancar dan tiada rintangan. Dan itu tidak akan terjadi tanpa punca dan sumbernya. Fikir terus mengembara di dalam ruang fikirnya. Dan dia cuba melihat jauh ke dalam dirinya sendiri dan membuat perbandingan antara dirinya dan sang Tangan. Memang, Sejujurnya Fikir merasakan dan mengakui dirinya lebih baik berbanding Tangan. Dia berupaya membuat pertimbangan, mencari kewajaran dan memuktamadkan kata putus untuk apa juga keadaan. Namun hanya setakat itu saja. Segala pertimbangan, kewajaran dan keputusan yang dibuat tidak bermakna semuanya menjadi tepat. Kerana kadang-kadang ada ketikanya segala pertimbangan, kewajaran dan keputusan boleh tersasar dari hakikat yang sebenar. Dan itu bermakna sekalipun dia mengakui mempunyai kelebihan namun masih juga dibatasi dan mudah dipengaruhi oleh unsur—unsur lain yang menghalangnya daripada menggapai kesempurnaan. Dan semua itu turut mengganggu kerja-kerja tuannya. Dan Tangan tetap ada kelebihannya sendiri. Jikapun dia tiada upaya untuk berfikir tetapi dia tetap mampu untuk menjadi penyentuh dan pembelai yang terbaik dan menjadikan sebuah kehidupan penuh pesona.

Fikir terus diasak oleh dunia fikirnya. Fikirannya meluncur dengan agak pantas lebih pantas dari sebelumnya. Dan sepantas itu juga muncul lagi sebuah fikiran mutakhirnya.

Ilham lah yang menjadi penggerak utama memimpin Fikir mencipta rentak dan gerak untuk si Tangan. Ilham dan Fikir bagai penggubah yang menciptakan irama untuk sebuah lagu. Lagu tidak akan hidup tanpa irama. Ikatan lagu dan irama itulah menghasilkan sebuah rentak dan gerak nan indah. Dengan rentak nan indah menarilah si Tangan di atas sebuah kanvas yang menjadi pentas pada setiap waktu yang dia diperlukan untuk terus menari. Menari dan terus menari. Menari meneroka alam kehidupan yang luas tanpa batas.

Fikir kembali kepada dirinya. Cuba menilai semula fikirannya sebentar ini. Apakah dirinya adil ketika memberi kelebihan kepada ilham lebih sedikit berbanding dirinya sendiri dan juga sang Tangan itu. Apakah benar Tangan itu sekadar tangan yang hanya tahu menari mengikut rentak dan gerak yang dicipta oleh sang Fikir dari luncuran sebuah ilham . Fikir terus juga berfikir.

Dari mana datangnya makhluk bernama ilham kalau benar Ilham itu lebih tinggi kastanya berbanding dirinya dan juga sang Tangan. Apakah ia dari baka atau keturunan yang lebih genius berbanding dirinya sendiri dan Sang Tangan si penari yang lincah itu. Soalan itu sekarang sedang mengasak dan menuntut jawapan dari dalam dirinya sendiri. Maka Fikir terus saja berfikir-fikir. Terus meneroka alam fikirnya mencari logika.Kali ini fikirannya dilontarkan lebih jauh di luar kotak fikirnya berbanding sebelum ini. Dengan melontarkan fikirannya sejauh itu dia berharap akan mendapat jawapan yang jauh lebih baik dan akan memberikan manfaat kepada karya-karya tuannya.

Ilham? Bukankah ilham itu satu anugerah. Tidak semua orang diberikan anugerah ilham untuk mencipta karya seni. Anugerah untuk berkarya. Anugerah itu tidak dapat dicipta sendiri.Anugerah itu datang dari yang Maha Pencipta. Maka anugerah itu bukanlah milik yang hakiki. Ia bersifat sementara. Sementara masih dipinjamkan. Dia berhak menarik balik setiap anugerah yang diberikan—Nya jika Dia berkehendak begitu kerana Dia adalah Pencipta yang paling mutlak, lebih unggul dan tiada tolok bandingnya. Itu satu hakikat yang wajib diyakini.

Fikir masih terus dibuai alunan fikirnya. Dia merasakan luncuran fikirannya lebih lancar bagaikan alunan air sungai yang licik meloloskan diri di celah batu-batu yang berceracakan di mana-mana. Demikian dia merasakan alunan pemikirannya saat ini. Dan itu menjadikan alam pemikiran itu sesuatu yang indah dan berseni. Begitu dia terfikir apakah tuannya sudah takbur dan angkuh dengan anugerah yang dipinjamkan selama ini. Jika benar kengkuhan dan ketaksuban diri itu pernah wujud apatah lagi jika tidak pernah mensyukurinya nikmat yang dicurahkan-Nya selama ini ,maka memang ada asbab tuhan menarik semula anugerah yang dipinjamkan sementara itu. Tetapi mudah-mudahan tu itu tidak benar.Dan mahfum dari sebuah firman Allah dalam surah Ibrahim ayat tujuh pantas menggamit ingatannya. “Jika kamu bersyukur pasti akan aku tambah (nikmat-Ku) untukmu dan jika kamu kufur maka sesungguhnya siksa-Ku amat pedih". Dan tiga bahagian tentang syukur itu juga pantas menziarah ingatannya. Syukur dengan hati bermakna kepuasan batin terhadap anugerah itu, syukur dengan lidah bermakna melafazkan rasa syukur dengan mengakui anugerah dan memuji pemberian-Nya. Syukur dengan perbuatan bermakna memanfaatkan anugerah yang diperolehi sesuai dengan tujuan anugerah itu. Fikir terdiam agak lama. Merenung masa lalu dan cuba memuhasabah diri tuannya. Namun dalam diam dan merenung diri itu,belum juga ada jawapan yang jelas diketemukan tentang hal itu.

Dalam kebuntuan mencari jawapan, Fikir merasai saat ini dia diluncuri sebuah ilham kecil tentang satu himpunan kata-kata yang terbit dari dalam kotak fikirnya. Itu baru saja terjadi sebentar ini. Dan dia cuba menyusun kata-kata itu dalam bentuk ayat-ayat yang mudah untuk difahaminya.
“Siapalah tangan tanpa Fikir,siapalah Fikir tanpa ilham, siapalah ilham tanpa anugerah kerana anugerah adalah kunci yang hakiki”. Kata-kata yang indah dan penuh dengan makna. Begitu bisik Fikir kepada diri-sendiri. Satu kepuasan yang tidak terucap terhampar di ruang waktu yang ada di hadapannya.

“Semoga anugerah itu masih ada.” Ungkapan itu sekali lagi meluncur dari sebuah ilham yang kemudiannya singgah di qalbunya dan diterjemah menjadi sebuah doa yang ringkas tetapi sarat dengan harapan dan keyakinan.Dan doa itu dilafazkan dengan nada perlahan tetapi amat jelas untuk didengar.

Fikir tersenyum lega. Setidak-tidaknya dia sudah ada jawapan untuk dijadikan hujah jika nanti dia diasak dengan soalan sedemikian oleh kerabat terdekatnya. Simpati pada tuannya sentiasa ada sebagaimana tuannya masih merenung takdir yang sedang berlegar di dalam kehidupan sebuah catan yang belum selesai yang hingga ke saat ini masih tergantung di atas sebuah easel.

_____________________________________________________________________________________


GLOSARI:
Easel :kekuda/tripod tempat meletakkan kanvas ketika melukis.
Catan :Lukisan yang menggunakan medium cat (cat air, cat minyak, akrilik dll)

Pengikut

Mengenai Saya

Pages

Powered By Blogger