Rabu, 7 September 2011

CERPEN.

PAK MUSTAR DAN KISAH TENTANG DARAH.


Pak Mustar masih menunggu. Baru saja sepuluh minit lebih begitu tapi terasa bagai berjam-jam lamanya. Yang ditunggu tidak kunjung datang. Akhirnya seksaan batin yang bertandang. Benarlah penantian itu satu penyiksaan.

Selalunya kerbau-kerbau kesayangannya itu sentiasa bersama di kalangan kawanan yang lain. Dan kawanan kerbau itu selalunya ada di sekitar kawasan ini pada waktu yang masih pagi begini. Tapi nampaknya keadaan pagi ini tidak begitu. bermakna dia harus menunggu lagi untuk beberapa minit mendatang ini.

Gerimis mula turun. Pak Mustar tidak menghadapi masalah menghadapinya. Kalau setakat gerimis bukanlah satu ancaman besar buatnya. Pohon rendang tempatnya berteduh sekarang ini mampu mengecualikannya daripada basah kuyup melainkan hujan bertukar menjadi lebat. Itu nanti mungkin boleh dianggap sebagai bencana diri yang patut dirisaukan. Justeru kerana situasi sekarang masih di bawah kawalan maka sedikit pun tidak kelihatan tanda-tanda gangguan kebimbangan menziarah perasaannya. Pak Mustar kelihatan tenang dan selamba.

Hampir dua puluh minit lebih berlalu. Kawanan kerbau yang ditunggu-tunggu tidak muncul juga. Jika bukan kerana gerimis memang saat ini juga Pak Mustar mahu angkat kaki hendak balik ke rumah. Tetapi masalahnya gerimis yang sedang menderai ini membuatnya berfikir berulangkali. Tentu basah kuyup juga dibuatnya jika keputusan meredah gerimis dibuat sesuka hati sekarang ini. Kalau basah kuyup saja tidak mengapa tetapi kalau demam dibuatnya bukankah itu menempah bahana namanya.Tentu buruk padahnya. Begitu Pak Mustar membuat pertimbangan dan mengukur baik dan buruknya tindakan yang bakal dilakukan selepas ini.

Fikir punya fikir akhirnya Pak Mustar buat keputusan. Dia memilih jalan pulang ke rumah. Dalam keadaan hujan begini duduk di rumah tentu lebih baik berbanding berada di tempat sekarang ini. Kerana tugas sekarang ini adalah pilihan dan bukannya tindakan yang terpaksa dilakukan. Esok atau lusa andai nyawa masih ada, pasti boleh datang ke sini walaupun sebenarnya dia rindu benar pada kerbau-kerbaunya itu.Demikian fikiran dan pertimbangan diri Pak Mustar.

Dalam derai gerimis yang demikian itu, Pak Mustar menyusun langkah pulang. Dia bakal menyusuri jalan ke rumahnya untuk tempoh sekurang-kurangnya melebihi tiga puluh minit. Titis-titis gerimis tetap terasakan menyiram tubuhnya walaupun titisan—titisan itu masih kecil namun bila badan terdedah agak lama kesan basahnya tetap ada. Dan kesan basah itu akan mengaliri mana-mana sahaja bahagian yang tidak terlindung. Bila lelehan gerimis itu merenjis ke muka ia perlu disisih bagi memastikan lapisan kulit di bahagian muka itu lebih selesa dan pandangan mata tidak terganggu. Itulah yang dilakukan Pak Mustar sekarang.Tetapi ketika tangan kanannya menyapu air yang mengaliri mukanya dia terperanjat bukan sedikit sewaktu tapak tangannya itu terimbas oleh pandangan matanya.

“Masyaallah, apa pula ini?”. pertanyaan itu tercetus dengan sendirinya tanpa ditujukan kepada sesiapa. Tetapi dengan cetusan suara garaunya yang agak keras sedikit seolah-olah membayangkan ada seseorang lagi yang sedang berdiri di hadapannya yang menerima pertanyaan itu.

Pak Mustar mengamati lelehan air berwarna merah di tapak tangan kanannya itu. Meskipun kelihatan cair tetapi ia segera mengundang tanggapan yang menggerunkan perasaan.

“Mengapa pula ada darah?”. Terpacul lagi soalan dari mulutnya dengan suara yang tetap garau. Pak Mustar mati langkah di saat itu. Ia tindakan yang tidak sengaja. Satu refleksi dari satu situasi. Situasi kritikal.Dan dia menyapukan sekali lagi tangan kanannya ke muka. Kemudian menelitinya semula. Fikiran bawah sedarnya memutuskan cecair itu adalah darah. Dan keputusan itu memang menderaukan darah.

Persoalannya mengapa ada darah. Mengapa pula tanpa sakit tanpa luka tiba-tiba saja muncul darah. Dari mana darah itu mengalir, dari muka atau dari kepala.Kalau bukan dari kepala dan muka mungkinkah darah itu turun dari langit di bawa oleh gerimis. Sesungguhnya soalan yang ditimbulkannya sendiri itu amat memeningkan untuk dijawab.Berkerutlah kening pak Mustar kerana didesak oleh bebanan fikiran dan perasaan.

Pantas ingatannya terbang jauh. Terbang kembali ke tanah suci yang dijejakinya semasa musim haji yang baru saja berlalu. Ingatan itu memeta semula peristiwa yang menimpanya semasa di sana. Sesungguhnya Pak Mustar mengakui dan menginsafi satu peristiwa aneh yang dilaluinya semasa di tanah suci itu adalah satu peringatan dan hukuman Allah terhadap dirinya. Dan dia sudahpun bertaubat dan berjanji kepada dirinya tidak akan mengulangi segala perbuatan itu.Segala lakaran peristiwa itu masih baru dalam kotak ingatannya kerana dia sendiri baharu sahaja seminggu kembali ke kampung halamannya dengan gelaran haji. Haji Mustar. Tetapi pagi ini darah yang mengalir di muka tanpa punca itu menjadi satu misteri yang menuntut penjelasan. Selagi tanpa penjelasan ia adalah satu igauan ngeri.

“Apakah hukuman tuhan kepadaku masih belum selesai di tanah suci, sehingga hukuman itu mengejarku sampai ke kampung?” Begitu soalan nakal meluncur dari mulutnya. Tapi sepantas itu juga Pak Mustar memarahi dirinya sendiri dengan menyatakan dia tidak patut mempersoalkan hukuman Allah. Hukuman Allah tidak mengira masa dan tempat. Jika Dia berkehendakkan begitu, begitulah yang berlaku. Keterpaculan soalan celupar itu dari mulutnya bukanlah kerana ketidakakurannya terhadap ketentuan Allah tetapi berlakunya itu adalah kerana ketakutannya terhadap hukuman itu sendiri.

Namun hukuman yang sedang dilaluinya saat ini menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan yang melemahkan minda. Jika benar ini hukuman tuhan kepadanya maka apakah kaitan darah ini dengan perbuatan masa lampaunya. Dan saat itu pertanyaan itu bertubi-tubi memijak kotak fikirnya. Akhirnya dia jadi lemah dan ketakutan. Dia terduduk di situ,di atas tanah yang berlumpur. Dia jadi putus asa. Fikirannya lemah mencari penjelasan. Tekanan perasaan itu membuatnya hilang kawalan. Keegoan jiwa lelakinya tewas. Akhirnya Pak Mustar menangis. Misteri darah di muka tiada jawapan. Dia menangis kerana asakan ketakutan yang menggila di dada. Iringan esakan dan sendu yang selayaknya mengiringi tangisnya persis kanak-kanak yang kehilangan barang mainan yang berharga. Dan tangisannya disaksikan gerimis yang masih belum mahu teduh itu.

Gawat. Tapi kegawatan yang belum mencecah seratus persen itu masih berupaya membuka ruang di hati Pak Mustar untuk memanjatkan doa kepada yang Esa. Pak Mustar pun menadah tangannya memohon agar diberikan petunjuk semoga dirinya mendapat kekuatan serta dapat memahami hikmah dari apa yang terjadi dalam peristiwa misteri darah di mukanya pagi ini.

Begitu esakan dan sendunya reda sedikit, ingatannya secara samar meluncuri masa lalu. Dan dia membenarkan ingatan itu mengundurkan masa puluhan tahun lalu semasa mudanya.

“Aku tidak mahu cari gaduh dengan kau Tapa. Aku Cuma mahu kau jangan ganggu Senah. Senah itu tunang aku!”. Suara jejaka bernama Mustar itu kedengaran amat serius.

“Kalau aku kata tidak apa kau nak buat..?” Tapa menyerlahkan keangkuhannya.

“Jangan kau fikir aku takut walaupun kau anak ketua kampung”. Balas Mustar.

“Aaahhh...,Anak sungai lagikan berubah, inikan pula baru bertunang..!” Tapa ketawa berdekah-dekah dengan gaya Sharif Dol penjahat filem Melayu yang menjadi idola para samseng kampung pada ketika itu. Dan dekahan ketawa Tapa itu disusuli juga ketawa yang keluar dari mulut kawan-kawannya. Situasi itu amat mencabar kelelakian Mustar namun dia berusaha untuk tunduk kepada kesabaran yang ada. Tetapi kesabaran itu hilang apabila situasi berlaku di luar kawalan. Anak muda berdarah panas.Dan itulah yang terjadi. Satu tumbukan sulung tangan kanan terpaksa dilepaskan sebaik Tapa melangkah ke depan mengasaknya. Tumbukan itu mengenai ke dahi Tapa. Sepantas itu memercik darah merah yang terbit dari luka di dahi itu. Tapa tersungkur ke tanah. Dia dipapah oleh kawan-kawannya balik rumah. Itulah hari yang menyaksikan pertumpahan darah kerana seorang perempuan. Tetapi Mustar tetap bangga kepada dirinya. Biar apapun tanggapan orang kampong kepadanya, dia tetap bangga kerana berjaya mempertahankan cinta tulusnya pada Senah. Cinta dan ketentuan jodoh akhirnya membawa kejayaan kepadanya untuk memiliki Senah sebagai suri hidupnya.

Luncuran ingatan ke masa lalu itu tiba-tiba terhenti sebaik Pak Mustar terasa sesuatu yang gatal di kepalanya. Tetapi sebelum tangannya bertindak menggaru ke bahagian yang gatal itu dia pasti insiden pergaduhan dengan Tapa sewaktu muda itu mempunyai kaitan dengan peristiwa misteri darah di mukanya yang terjadi pagi ini. Dia pasrah saja jika itulah hukuman yang harus dia terima. Sebagai hamba dia sentiasa redha. Pak Mustar berjaya juga menggaru bahagian yang gatal itu. Tetapi tidak tuntas sepenuhnya.Oleh kerana sebahagian besar kepalanya itu diliputi kopiah maka terasakan kepuasan menggaru itu belum mencapai tahap yang dimahukan. Maka sepantas itu juga tangannya menanggalkan kopiah yang dibeli di Mekah itu yang dianggapnya mengganggu kepuasan menggaru untuk melenyapkan rasa gatal di kepala itu. Tetapi ketika tangannya yang memegang kopiah yang diturunkan dari kepala itu terimbas oleh anak matanya satu lagi kejutan menyentap jantungnya. Menderau sekali lagi darah Pak Mustar.

“Ya Allah”. Hanya kalimah itu yang mampu terucap. Diamatinya kopiah berwarna putih yang bersulamkan benang-benang berwarna merah. Kerongkongnya terasa bagai disumbat duri tapi kemudiannya terasa bagai termuntah guli. Kemudian pantas rasa di kerongkong itu lega. Saat itu baru terasa diri berpijak di bumi nyata. Baru terasa fikiran kembali waras. Terasa hidup menjadi manusia semula.Demikian adanya, akhirnya terjawablah persoalan yang tadinya mengasak perasaannya itu. Dan dia merasakan benar-benar dipermainkan oleh situasi yang di luar kawalan dan membulinya tanpa perikemanusiaan. Tapi semua itu berlalu dengan pantas. Yang didepaninya sekarang hanyalah satu penjelasan. Dan penjelasan itu ada di depannya.Pak Mustar tanpa prejudis lagi merumuskan benang warna merah itulah yang menghasilkan cecair merah bagaikan darah apabila warnanya luntur tersiram titisan hujan yang membasahi kopiah ketika dipakai di atas kepalanya. Demikian fikirnya mengesahkan hal itu, Pak Mustar senyum-senyum malu pada dirinya sendiri sesudah menangis semahu-mahunya bagai anak kecil yang kehilangan barang mainan sebentar tadi. Senyum-senyum malu itu masih terkial-kial bersembunyi di wajahnya disusuli gelagatnya yang kelihatan tersipu-sipu seolah-olah ramai orang sedang memerhatinya di situ. Hanya sesudah semuanya terkawal kembali, Pak Mustar bangun, dia mula mengatur langkah pulang di celah gerimis yang semakin deras. Hanya dia sendiri yang tahu apa yang ada di hatinya saat itu.- EHB

Ahad, 4 September 2011

CERPEN.

KAK LIMAH ADA RAMBO.

EDRISHJBIJIN

Semalam aku terdengar menantu lelaki Kak Limah membangkitkan soal juadah untuk hidangan di pagi raya. Menantu lelakinya itu nampak gayanya agak kebuntuan memikirkan menu untuk tahun ini sebab itulah dia terpaksa meminta pandangan Kak Limah. Tapi Kak Limah macam tak berminat dengan topik berkenaan. Itu dapat dilihat melalui jawapannya yang nampaknya tidak memperlihatkan sebarang cadangan . Bagi Kak Limah yang mana baik bagi anak-anak itulah yang terbaik untuknya.Tetapi ada satu soalan yang terpacul dari mulut menantu Kak Limah benar-benar menyentap degupan jantungku. Sungguh menakutkan.

Ahh.., Apapun itu soal mereka. Apa yang mereka nak buat itu adalah hak dan urusan mereka. Aku peduli apa. Dunia ku amat berbeza. Aku perlu hidup dan perlu menguruskan hidup ku sendiri. Tetapi sejujurnya aku terpaksa mengakui sejak terdengar perbualan Kak Limah dan menantu lelakinya semalam aku begitu terasa hidupku sedang terancam.

Hari ini tinggal lima hari lagi menjelang syawal. Masa semakin suntuk. Bila-bila masa saja aku akan ditangkap kemudian diikat. Selanjutnya menunggu masa untuk disembelih. Selepas nafas terakhir aku tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku pada jasadku. Sepanjang yang aku tahu dagingku boleh dibuat pelbagai hidangan. Mungkin boleh dibuat sate, dimasak rendang, kari ataupun dipanggang bulat-bulat. Ahh semuanya berkemungkinan.

Aku perlu melakukan sesuatu. Jika aku berdiam saja bermakna aku menyerah. Menyerah itu adalah sikap binatang yang penakut. Jadi aku perlu berjuang untuk meneruskan hidup. Aku sebenarnya sudah mempunyai rancangan ku sendiri. Rancanganku mudah saja. Aku akan melarikan diri sebaik menyedari ada usaha untuk menangkapku. Aku akan tinggalkan segala yang ada di sini dan akan berkelana walau ke mana saja. Itu saja cara terbaik boleh aku fikirkan setakat ini.

Menjelang tiga hari lagi syawal aku dapat maklumat dari seekor ayam jantan yang terdengar perbualan Kak Limah yang meminta pertolongan suaminya untuk menangkap aku sebelum diserahkan kepada menantunya. Sekarang sudah jelas betapa aku sebenarnya diperdagangkan untuk memenuhi kehendak manusia menjelang ketibaan syawal tahun ini. Namun aku masih merasakan sedikit kegembiraan bilamana si ayam jantan memberitahu ku lagi bahawa Kak Limah memang bersedih dan kalau boleh dia tidak mahu menjualku. Kak Limah tidak terdaya. Dia terpaksa menurut kata menantunya selepas dipujuk oleh anak perempuannya. Jadi sehingga saat ini aku tahu bahawa Kak Limah masih menyangiku. Dan aku dijualpun bukan atas kerelaannya.

Ketika manusia sibuk bersahur pada dua hari terakhir ramadhan aku sudah terjaga. Perkara pertama yang berlegar di otak ku ialah pagi ini aku mesti melarikan diri. Jadi aku perlu bergerak awal meninggalkan perkarangan rumah kambing milik Kak Limah. Aku perlu mengharungi kegelapan subuh yang dingin untuk memulakan perjalanan yang entah ke mana. Dan sekarang aku memulakan langkah ku sebagai kambing pelarian. Dan rasanya seluruh hari ini akan aku lalui dengan cabaran dan kepayahan.

Ketika aku terjaga wajah siang sudah agak terang. Malam tadi aku sungguh keletihan kerana banyak berjalan pada siang harinya. Aku menumpang tidur di luar reban kambing yang tidak aku kenali. Mujurlah kambing-kambing yang tinggal di situ merasa kasihan dan seterusnya membenarkan akau bermalam di situ. Pagi ini suasana begitu sayu.Dari kejauhan aku terdengar alunan suara takbir raya. Alunan yang sudah biasa ku dengar semasa tinggal di rumah kambing milik Kak Limah. Biarpun aku seekor kambing aku terasa sedih juga mendengarnya. Aku terkenangkan kak Limah. Dia tentu sedih dengan kehilanganku. Aku tahu Kak Limah sayang kepadaku.

Demi Kak Limah.Pagi ini aku tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Saat ini aku sudah nekad biar apa pun bakal ku hadapi di sana, aku memilih jalan pulang. Aku ingin kembali ke rumah Kak Limah.

___________________________________________________________________


( cerita ini tidak bersandarkan dunia realiti. Ia adalah sekadar imaginasi penulis semata-mata)

CERPEN.

DI AKHIR SEBUAH BISIKAN.

EDRISHJBIJIN


Pembisik itu menghampirinya.

“Inilah pengorbanan yang paling hebat yang pernah kamu lakukan sepanjang hidup kamu. Kamu adalah di antara jiwa yang terpilih. Bertuahlah kamu memilih hidup yang bakal kamu lalui. Ayuh lakukannya secepat dan sebaik mungkin.Kamu akan ke sana ke pulau kebebasan”.


Wanita muda itu hanya diam. Membiarkan dirinya tergantung di awang-awangan di atas sebuah pulau yang sunyi. Keterawang-awangannya itu disebabkan seutas tali yang sedang mengikat tubuhnya. Namun dia sendiri tidak pasti di manakah hujung tali yang sedang menggantung seluruh tubuhnya di awangan itu diikatkan. Cuma apa yang difahaminya dia sendiri yang akan membuat keputusan untuk melepaskan ikatan tali di tubuhnya sendiri untuk mencampakan jasadnya sendiri jauh ke bawah sana di sebuah pulau sunyi yang dikatakan alam kebebasan oleh sang pembisik kepadanya. Jauh di bawah sana, di tanah pulau yang keras dan berbatu-batu itu dia dapat melihat satu garisan berada tepat di tempat di mana tubuhnya tergantung saat ini. Namun sebenarnya dia sendiri tidak mengetahui bahawa garisan itu adalah garisan pemisah yang menentukan sama ada dirinya adalah milik Tuhan yang pernah disembahnya ataupun milik sang pembisik serta para penyorak yang sedang keghairahan itu.


Sesungguhnya qalbunya hampir kosong. Hanya tinggal sedikit sisa pertimbangan dan kewarasan. Sisa itu menemaninya dalam bentuk jelmaan kecelaruan di minda yang terlalu lemah. Dan kecelaruan itulah yang masih menjadi tembok yang menghalang tindakan nekad yang sepatutnya sudah berlaku. Jika tembok terakhir itu dapat diruntuhkan bermakna sang pembisik akan meraikan kejayaan besar di atas sebuah upacara korban terhebat yang diketuainya. Namun jika sebaliknya bermakna ia adalah kegagalan yang amat memalukan seluruh warganya. Dan saat ini bayangan kegagalan sedang muncul di hadapannya. Dengan apa cara sekalipun minda dan qalbu wanita muda itu mesti dikosongkan sekosong-kosongnya sehingga dia akur dengan bisikan halus yang menghantarnya ke sebuah dunia lain.


“Bodoh kamu…”. Kedengaran satu suara keras mendatangi sang pembisik.

“Dia sepatutnya sudah terjun dari tempat ini untuk misi membunuh diri”. Sang pembisik begitu gementar untuk menjelaskan jawapannya.

“Sejauhmana kamu mengenali wanita muda ini..”.

“Dia wanita muda yang cantik yang mencintai dunia yang akhirnya hanyut oleh tipu daya lelaki.”

“Lagi…?”

“Omongan cinta palsu mengundang perzinaan membenihkan zuriat di luar nikah. Akhirnya dia tercampak kepada kekesalan dan kehinaan. Dan dia sepatutnya menghakhiri hidupnya dari ketinggian ini..”

“Tapi kamu gagal menyesatkannya hingga ke saat ini.Lakukan lagi hingga dia nekad...”

Perintah itu menjadi satu desakan yang amat hebat. Tidak ada pilihan lain kecuali mencari kaedah yang paling berkesan untuk mendorong wanita muda itu mengosongkan qalbunya agar terisi dengan bisikan halus dan memuktamadkan keputusan ketika ia sedang jauh dan makin hampir tersisih dari rahmat dan hidayah Tuhannya. Saat-saat ini adalah kesempatan yang masih terbuka kepada sang pembisik dan para penyorak yang sedang ghairah itu.

Hasutan demi hasutan sedang dibisikkan. Sorakan terus bergema. Namun wanita muda itu masih begitu sejak tadi. Keadaan tidak berubah. Keanehan berlaku. Nyanyian para penyorak itu kedengaran sumbang dan tersekat-sekat. Ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

“Apa yang sudah berlaku?”. Pembisik didatangi lagi oleh soalan.

“Ada sesuatu yang mengganggu upacara ini?” suara sang pembisik itu separuh gementar.

“Apa yang kamu maksudkan…?”

“Seorang anak muda yang bersih hatinya sedang memanjatkan doa kepada Tuhannya untuk keselamatan wanita muda ini”.

“Siapa anak muda itu?”.

“Anak muda yang soleh, pernah melamar wanita muda ini. Dan kini masih menyintainya demi cintanya kepada Tuhannya. Doanya tidak pernah putus sepanjang hari dan malam”.


Sebentar ini wanita muda itu tersentak oleh sesuatu. Ada getaran di mindanya. Ada gambaran yang samar yang kemudiannya berubah secara perlahan menjadi lebih jelas. Dari dalam mindanya dia melihat seorang anak muda dengan pakaian serba putih sedang menadahkan tangannya. Anak muda itu bangun dan kelihatan di tangan kanannya sebilah pedang yang tajam berkilau. Kemudian anak muda itu terbang walaupun tanpa sayap dengan pedang di tangan kanannya sedang menuju ke tempatnya terawang-awang ketika ini. Anak muda itu kelihatan yakin dan penuh keberanian.


Kehadiran anak muda itu mencetuskan pertempuran yang hebat. Sang pembisik dan para penyoraknya tidak akan mengalah begitu mudah. Tetapi kehebatan anak muda itu sungguh luar biasa. Pedangnya yang berkilau memancutkan air yang dingin dan melenyapkan suara bisikan dan sorakan yang sebentar tadinya bergema dengan cukup kuat. dan secepat itu air dingin dari mata pedang anak muda itu terus melenyapkan seluruh warga pembisik dan penyorak yang tercipta dari api itu.Tiba-tiba dirasakan ada sesuatu yang sedang mencantas tali yang sedang mengikat dan menggantung tubuh wanita muda itu di awang-awangan. Sepantas itu juga tubuh wanita itu tercampak ke dunia nyata. Ketika wanita muda itu membuka matanya dia sedang sedar dan mendapati dirinya terduduk di atas bumbung sebuah bangunan. Tidak ada pulau, tidak ada garisan,tidak ada tali, tidak ada pedang, tidak ada anak muda, tidak ada pembisik, tidak ada para penyorak. Tidak ada apa-apa. Yang ada hanyalah dirinya sendiri dan sebuah dunia malam.


“Mengapa aku ada di sini?”. Soalan itu belum terjawab sehingga saat wanita muda itu bangun dan sedang cuba melafazkan istighfar dari mulutnya yang kedengaran gementar dan tersekat-sekat. Dia masih celaru dan lemah.

ogos2011

CERPEN:

RAMBO KAK LIMAH

SIRI 3.


Sekarang aku bukan siap-siapa. Aku gelandangan dan masih tidak punya arah. Tapi mujur aku masih punya jiwa. Jiwa inilah yang menggerakkan nadi ku untuk terus berdenyut. Selagi ajal belum tiba aku tak akan berhenti untuk hidup.


Saat ini aku berada di sebuah daerah asing. Jauh dari pengetahuan Kak Limah. Aku sebatang kara di tengah-tengah persekitaran yang segala-galanya baru. Apa lagi cabaran yang bakal menanti di sini.Apakah kemampuan ku bakal teruji lagi. Segalanya penuh dengan kemungkinan. Itu bermakna kita tidak pasti apa yang sedang menanti di hadapan.dan yang jelas kita hanya ada dua pilihan sama ada menang ataupun kecundang.Apapun keadaannya, aku amat senang mendepaninya selagi hidup ini dipayungi kebebasan. Tanpa kebebasan tiada maknanya hidup.


Keletihan membuat kudrat kita tergugat. Ia perlu ditangani dengan bijak. Jangan lawan hukum alam. Kalau penat kena berehat, kalau dahaga minum dan kalau lapar carilah makanan.


Suasana petang di hadapan sebuah hentian bas yang tidaklah sesibuk mana. Aku kira tempat ini adalah sebuah kampung kerana jumlah penduduk yang dapat kulihat tidaklah ramai. Aku berehat di bawah pohon kelapa yang berhadapan dengan perhentian bas di seberang jalan. Aku kira kebebasan ku agak terjamin di sini. Kehadiranku di sini tidakpun diganggu oleh manusia. Ia petanda yang baik. Itu bermakna setakat ini aku tidak ada ancaman.Maka itulah aku bercadang untuk menikmati petang ini sebaik mungkin untuk melihat panorama yang ada di persekitaranku. Aku antara makhluk yang gemar melihat gelagat manusia. Bagiku manusia adalah makhluk yang unik dan hebat. Cuma manusia sahaja yang kadang-kadang tidak sedar akan keunikan dan kehebatan mereka sendiri. Sebab itu ada di antara mereka mensia-siakan hidup yang telah dianugerahkan kepada mereka. Namun tetap ramai juga manusia mampu mencapai tahap kehebatan yang gemilang, sebahagiannya mencapai tahap ketokohan yang tersohor tetapi bukan semua berupaya mencapai tahap terulung. Memerhati gelagat manusia juga adalah satu proses pembelajaran. Proses pembelajaran tidak semestinya diperolehi hanya dengan pergi ke sekolah. Orang yang punya sekolah tinggi pun kadang—kadang tidak tahu bagaimana untuk hidup.


Aku..? jangan Tanya aku tentang sekolah. Memang aku tidak pernah pergi ke sekolah untuk belajar menulis dan membaca. Itu hakikat yang semua manusia tahu. Aku tidak pernah belajar menulis untuk hidup tapi aku belajar untuk hidup dari pengalaman. Manusia selalu bercakap bahawa guru yang paling hebat adalah pengalaman. Dan aku amat bersetuju dengan ungkapan itu. Dalam skrip hidupku,apa saja yang dihadapi perlu diatasi serta merta. Tiada ujian tiada peperiksaan. Semuanya realiti yang mesti didepani dan ditangani dengan kudrat dan keberanian. Pada hakikatnya hidup ini mudah pada dunia haiwan. Cukup dengan adanya makanan, tempat tinggal yang selamat dan sebuah keluarga. Itu sahaja. Tidak perlu telefon bimbit, tidak perlu kereta mewah, tidak perlu rumah besar, tidak perlu juga kekasih yang cantik dan seksi. Kerana semua ini akan menyulitkan kehidupan. Lihat saja manusia lantaran tuntutan hidup yang dilandasi oleh nafsu yang sukar dikawal maka berlakulah rasuah, penipuan, penindasan, pembunuhan dan macam-macam lagi gejala yang jijik dan hina. Dan ada waktunya manusia kelihatannya lebih jijik daripada perlakuan haiwan. Tetapi bukan semuanya begitu. Mungkin segelintir kecil sahaja. Dan apa yang jelas agama yang dianuti manusia sangat melarang penganutnya mendekati perkara-perkara yang menjijikan itu.

Menjadi gelandangan lebih baik daripada hidup menjadi buruan. Sebagai gelandangan meskipun perit tetapi masih punya kebebasan sebaliknya sebagai buruan kita menjadi sasaran untuk ditewaskan. Itulah situasinya.jadi, dengan harga kebebasan yang masih aku miliki aku ingin menikmati suasana petang ini sebaik mungkin. Ia sesuatu yang sangat mengujakan.


Suasana petang yang aman terus memberi ruang buatku untuk berehat. Berehat di sini sehingga aku sudah punya arah tujuan yang jelas. Jika belum mungkin saja aku akan bermalam di sini sementara menunggu esok pagi. Bermalam di hentian bas ini mungkin adalah antara pilihan yang aku ada. Namun ia hanya satu cadangan yang masih belum muktamad. Apapun keputusannya masih bergantung pada situasi yang mutakhir.


Sebuah bas berhenti. Sekitar empat atau lima orang penumpang turun. Bas berlalu pergi. Para penumpang yang turun juga bergerak ke destinasi tertentu. Rasanya tentulah mereka pulang ke rumah masing-masing. Ahhh.., tiba-tiba pandanganku terganggu. Sorotan mataku terpaku pada susuk tubuh seorang wanita yang turun dari bas sebentar tadi. Aku tidak terkata kerana bagai tidak percaya. Degup jantungku bergetar. Dadaku berkobar. Aku jadi gementar.Apakah yang ku lihat ini benar? Betapa tidak wajah wanita ini mirip benar dengan Kak Limah. Susuk tubuh, wajahnya hampir serupa walaupun tidak sama. Ini juga satu lagi keajaiban. Apakah ini kembar Kak Limah atau mereka mempunyai hubungan saudara atau hanya kebetulan saja.Ahhh..,mengapa ini mesti berlaku. Bukannya aku tidak suka. Tetapi kejadian ini membuat aku terpukul. Perasaan rinduku pada Kak Limah tiba-tiba muncul. Dan jiwa ku terasakan kacau. Namun aku tidak boleh lemah dengan situasi ini. Bukankah aku ini Rambo, nama yang diberikan Kak Limah. Rambo lambang si jantan yang lasak yang mampu hidup dan berjuang dalam apa juga keadaan. Aku bukannya jantan jiwang yang akan longlai bila dihambat perasaan. Jadi ia harus dihadapi sebaik mungkin. Dengan segala pertimbangan yang lebih wajar.


Aku mengambil keputusan drastik. Aku mahu mengekori wanita ini sehingga sampai ke rumahnya. Di sana nanti aku perlu menilai keadaan, keselamatan dan peluang. Jika segalanya kelihatan memihak kepadaku, aku akan berusaha untuk mencari ruang agar dapat ku bina hubungan dengan wanita yang mirip dengan Kak Limah ini.


Aku terus melangkah mengikuti jejak wanita seiras Kak Limah.Percayalah, aku lakukan ini bukan bermaksud mahu melupakan Kak Limah. Bukan juga untuk mencari penggantinya.Jauh sekali untuk menderhaka. Aku ulangi sekali lagi aku bukan mahu berpaling daripada Kak Limah. Kak Limah tetap satu dalam hidupku. Ia terpahat di dalam hatiku.Aku tidak pernah mengatakan bahawa aku akan meninggalkannya untuk selamanya.Aku meninggalkan Kak Limah kerana hidupku tidak lagi aman di sana.Dan ia bukan angkara Kak Limah. Ia angkara orang lain di dalam keluarga Kak Limah.Aku lakukan ini hanya kerana ingin mencari dan menagih kasih sayang manusia.Sebagaimana aku merasakan kasih sayang dari Kak Limah.Aku mahu membina hubungan. Hubungan yang baik akan menjadi jambatan persahabatan dan kasih sayang. Kerana dengan kasih sayang membuatkan hidup yang kita jalani terasa lebih manis. Hubungan kasih sayang antara manusia dan haiwan sangat istimewa. Dan ia sukar digambarkan dengan kata-kata.


Kakiku terus saja melangkah melewati landskap pemandangan pohon-pohon kelapa dalam suasana petang. Suasana kehidupan di kampung yang sungguh mendamaikan. Dan aku masih bercakap soal kasih sayang. Mengapa perlunya kasih sayang. Kasih sayang adalah asas kepada kehidupan. Tanpa kasih sayang kehidupan yang aman tidak akan wujud. Lihat saja kuasa-kuasa dunia yang kononnya memperjuangkan keamanan sejagat. Mereka hanya tahu bercakap tapi langsung tidak faham apa yang mereka katakan. Mereka menampilkan diri dengan kehebatan sebagai pemimpin yang berkarisma dan kononnya lebih bertanggungjawab untuk memelihara dunia. Padahal semuanya haprak. Mereka tidak lebih seperti burung tiong yang hanya tahu meniru percakapan orang lain sedangkan dia sendiri tidak faham apa yang dia tuturkan. Akibatnya tanpa kasih sayang yang hakiki kehidupan manusia dan dunia menjadi hura-hara. Buktinya dunia menyaksikan peperangan, kemiskinan dan kebuluran, kekejaman dan penindasan berlaku di banyak tempat. Percayalah semua ini tidak akan berlaku jika kehidupan ini diasaskan dengan kasih sayang dan persahabatan yang hakiki.


Langkahku berhenti seketika. Wanita yang ku ekori itu rupanya sudah sampai ke rumahnya. Ku kira langkahku hanya sampai di sini untuk hari ini.Dan malam ini aku akan bermalam di halaman rumah wanita ini. Tahulah aku mencari tempat untuk melelapkan mata. Asalkan keselamatanku terjamin.itu sudah cukup bagiku.Dan selebihnya aku berserah kepada takdir hidupku. Aku sangat percaya bahawa usaha yang gigih perlu dilakukan selebihnya takdir yang menentukan. Walau dalam keadaan apapun aku tetap sentiasa ingat siapa aku. Aku hanya seekor kambing yang inginkan kehidupan yang lebih aman pada setiap helaan nafas ku yang masih ada ini. Semoga episod kehidupanku untuk hari esok seperti pagi yang menikmati sinar indah pada setiap hari yang cerah.

____________________________________________________________________

(cerita ini tidak bersandarkan kepada dunia realiti. Ia hanya imaginasi penulis semata-mata)

EHB2011

CERPEN:

RAMBO KAK LIMAH

SIRI 2.

Memang aku bodoh. Harap nama saja Rambo.Tapi tak guna punya diri. Memang salah aku sendiri. Fikiran aku tak panjang. Tidak pandai berfikir dua tiga kali. Hanya sekali fikir sudah buat keputusan. Aku kira aku sudah begitu bijak membuat keputusan. Rupanya membuat keputusan bukanlah semudah jatuh cinta. Membuat keputusan memerlukan kematangan berfikir. Membuat pertimbangan dari setiap sudut yang perlu yang akhirnya akan menghasilkan satu keputusan yang bijak dan memihak kepada diri-sendiri. Aku..? inilah episod baru dalam skrip hidupku. Sekarang hidupku ibarat telur di hujung tanduk.Terancam lagi buat kali yang kedua.

Kegembiraan yang aku kongsikan bersama Kak Limah telah dimusnahkan hanya beberapa hari selepas ketibaan syawal. Aku ditangkap. Dengan tali dileher mana mungkin aku boleh lepas dengan mudah. Aku kira kali ini segala-galanya akan berakhir secara mandatori. Aku tidak mempunyai apa-apa pilihan dan peluang lagi untuk menikmati kebebasan seperti yang kukecapi sebelum ini. Bahkan mungkin lebih dasyat daripada itu.Dan lihatlah saat ini. Gelungan tali di leher ini mempunyai maksud yang jelas. Jika tali ini dikalungkan pada leher manusia itu bermakna satu pengakhiran kepada kehidupan.itu sudah pasti. Akan tetapi jika di leher haiwan akan masih ada kemungkinan lain.

Sekarang sudah lewat malam. Namun mataku tetap segar.tanpa rasa mengantuk sama sekali. Aku tahu sebabnya. Tali yang ada di leher ku sekarang inilah puncanya. Ia membuatkan kehidupanku tidak karuan kini. Ia ditambah dengan berita buruk yang baru aku terima pada awal malam ini. Sungguh aku akui sebaik mendengarnya aku hampir pitam. Ia membunuh harapanku. Sehingga saat ini aku merasakan separuh hidupku telah melayang ke sebuah dunia lain. Dunia yang tidak pernah dijejaki oleh makhluk yang belum diistiharkan mati.

Ada kerabat yang sedang mencari makan tidak jauh dari halaman rumah Kak Limah terdengar perbualan orang di beranda rumah yang menyatakan aku bakal dijadikan hidangan untuk hari terbuka di rumah menantu lelaki Kak Limah untuk beberapa hari yang mendatang ini. Mengikut kata kerabat yang mendengar berita ini kononnya ramai kenalan menantu lelaki Kak Limah mencadangkan menu kambing panggang pada rumah terbuka itu nanti. Ia jelas satu perancangan. Tak dapat di pagi raya nak buat pula pada rumah terbuka. Bijak…, bijak sungguh.Manusia memang bijak. Manusia adalah makhluk istimewa yang diberikan akal dan fikiran. Jadi manusia adalah sebaik-baik makhluk berbanding haiwan. Itulah sebabnya aku katakan aku ini bodoh. Fikiranku tidak sejauh manapun. Aku kira sesudah aku terlepas daripada menjadi hidangan di pagi syawal hidupku sudah selamat. Rupanya aku salah kerana menantu lelaki Kak Limah itu masih memburuku untuk dijadikan hidangan pada hari terbuka di rumahnya.sekarang aku sudah menjadi buruan. Itu adalah hakikat.Aku dapat simpulkan bahawa orang yang menjadi dalang utama yang mengancam kehidupan ku sekarang ialah menantu lelaki Kak Limah. Khabarnya mengikut cerita karabat yang mendengarnya dari perbualan itu menantu lelakinya ini orang berjaya, ahli perniagaan, banyak duit, rumah besar, nafsu besar dan entah apa-apa lagi. Ahhh..pergi jahanam dengan semua itu. Kalaupun benar dia kaya,dia ingat dengan kekayaan dan harta yang banyak dia boleh beli semuanya. Jika benar itulah caranya berfikir memang dia ni tergolong di kalangan orang-orang tolol lagi ditololkan. Bila memikirkan menantu Kak Limah ini hati jadi sakit dibuatnya. Mahu saja aku isytiharkan sekarang bahawa lelaki ini adalah musuhku sebagaimana Kerajaan Amerika Syarikat mengisytiharkan Osama Ben Ladin pemimpin terulung AlQaeda itu sebagai seteru utama mereka. Sehingga akhirnya Osama dibunuh dengan cara yang langsung tidak bertamadun.Tapi aku tidak begitu. Aku bukannya kerajaan Amerika Syarikat durjana yang mungkin hampir sama tarafnya dengan syaitan itu. Kata kerabat, menyimpan dendam bukan sifat yang mulia kerana ia akan menyebabkan jiwa kita jadi sakit. Dan kesakitan itu nanti akan menghukum diri kita sendiri akhirnya. Jadi aku memilih untuk tidak mendendaminya. Aku mahu menjadi seperti Nelson Mandela pemimpin dan pejuang kulit hitam yang pernah dipenjara selama dua puluh tujuh tahun itu. Lihat apa yang berlaku pada dirinya sebaik dibebaskan. Dia langsung tidak pernah berdendam dengan orang yang mencampakkannya ke dalam penjara itu. Bahkan dia dapat meneruskan hidupnya dengan lebih aman dan meneruskan perjuangannya dengan kejayaan. Akhirnya dia diikhtiraf oleh dunia sebagai pejuang tulen. Pejuang yang memperjuangkan kepentingan perjuangannya melebihi kepentingan diri.

Aku terus cuba memujuk diri mencari ketenangan. Dengan mencari ketenangan akan memungkinkan jiwa ku boleh jadi lebih aman. Dan itu lebih baik daripada memikirkan bagaimana untuk melepaskan diri. Memikirkan untuk melepaskan diri membuat fikiranku lebih tegang. Kerana aku tahu aku tiada upaya untuk meleraikan tali yang sedang mengikat leherku. Jadi lebih baik saja alihkan fikiran untuk memikirkan perkara yang baik-baik. Itupun kiranya ada. Jadi aku cuba mengingati apakah sepanjang kehidupan yang pernah aku jalani ini aku telah melakukan sesuatu yang membanggakan hidupku. Setidak-tidaknya aku boleh mendabik dada sendiri kalaupun tidak dapat dicanang kepada dunia. Mati menjadi lebih mulia jika semasa hidup punya kesempatan membuat jasa. Tidak mengapa jika pun tidak dianugerahkan dengan bintang kebesaran oleh pemerintah. Cukup bagiku dapat menaburkan jasa untuk kebaikan semua. Bila mana ia dilakukan dengan penuh ketulusan sudah pasti ganjarannya adalah kemenangan dalam jiwa. Itulah kemenangan yang hakiki. Bagi ku itulah yang lebih besar maknanya daripada apa-apa anugerah yang akhirnya menjadikan diri kita riak dan meninggi diri. Tapi bila difikirkan semula aku rasa tidak patut aku cuba mengingat segala kebaikan yang pernah aku lakukan. Bagiku itu hampir sama maknanya dengan mengungkit. Dan perbuatan mengungkit itu adalah tanda-tanda perbuatan yang tidak ikhlas. Jasa dan kebaikan yang kita lakukan perlu berlandaskan keikhlasan. Tanpa keikhlasan perkara yang baik akan jadi sebaliknya. Dan akhirnya kita tidak merasakan apa-apapun dari apa yang telah kita lakukan.Bahkan ia mungkin boleh bertukar menjadi satu penderitaan di jiwa.

Aku bangun bergerak mundar mandir. Aku berfikir lagi. Prinsip hidupku yang hampir terhakis sebentar tadi menebal semula dalam jiwaku. Ku rasakan degup kencang dijantungku. Ia bukan degupan ketakutan tapi ia adalah gelombang keberanian. Menyerah sebelum berjuang adalah sifat makhluk penakut. Jadi lebih baik berjuang daripada berdiam. Tapi dalam keadaan begini apa yang mampu aku lakukan? Untuk memutuskan tali yang mengikat leher ku ini adalah mustahil. Kerana aku tidak mempunyai apa-apa kebolehan untuk memutuskan tali nylon yang mempunyai ketahanan yang tinggi ini. Sebab itu aku rasa lebih baik dikurung dalam penjara daripada diperlakukan seperti ini.Jadi apa yang boleh aku buat? Aku terus berfikir.

Tiba-tiba aku didatangi seekor tikus. Tikus yang kelihatan begitu cemas. Mengamati susuk tubuh tikus jantan ini membuatkan aku teringat sesuatu. Rasanya seperti pernah berjumpa dengannya. Iya benar sekali. Aku mengenali tikus jantan ini.

“Hai.. selamat malam kawan.” Sapa ku.

“Saya dengar tuan dalam kesusahan. Jadi saya datang ini untuk menghulurkan bantuan. Itupun jika tuan sudi menerima bantuan saya?”

“Ohh…terima kasih kawan. Jika begitu aku sangat berbesar hati kalau kamu dapat mencari jalan agar aku terlepas dari ikatan di leher ku ini.”

“Tuan pernah menyelamatkan nyawa saya. Jadi inilah masa yang baik untuk saya membantu tuan. Tuan jangan bimbang saya tahu apa yang patut di buat.”

Selepas meminta izin memanjat di belakangku tikus memulakan kerjanya untuk misi menyelamatkan aku. Sungguh aku tak sangka dengan begitu mudah saja skrip kehidupanku bakal berubah. Keajaiban. Ini satu lagi keajaiban. Aku terfikir juga apakah malaikat yang menghantar sang tikus ini untuk membebaskan makhluk yang kehilangan upaya di sebalik lilitan tali di lehernya. Malam ini aku mempelajari satu perkara lagi. Ia berkaitan dengan hukum kehidupan yang mempunyai putarannya sendiri. Persahabatanku dengan sang tikus ini bermula dengan satu tragedi yang berlaku ke atasnya. Sang tikus ini tertangkap di dalam satu perangkap tikus yang dipasang manusia. Tikus ini terperangkap ketika dalam perjalanan pulang membawa makanan untuk keluarganya. Ada tiga ekor anaknya masih kecil manakala isterinya sedang sakit. Aduh…, aku terdiam saja ketika sang tikus ini menceritakan perjalanan hidupnya. Rasa simpati mendorong untuk aku bertindak. Akhirnya aku dapat membantunya keluar dari perangkap itu. Sejak itulah persahabatan aku terjalin begitu akrab dengan sang tikus ini. Ia sangat bermakna bagiku. Persahabatan yang tulus tidak boleh dibeli dengan harta dan kekayaan. Persahabatan yang tulus tidak mengira batasan puak dan keturunan. Ia bersih dan menyatu seperti aliran air sungai jernih yang sentiasa bersama-sama mendepani apa juga yang ada di hadapan. Tiba-tiba sang tikus melompat dari belakangku.

“Tuan sudah bebas sekarang!” aku terdiam seketika mendengar suara sang tikus.Ia melakukan pertolongan yang sangat besar ertinya bagiku.

“Oh, terima kasih banyak kawan. Kamu telah menyelamatkan nyawa saya. Dengan apa harus aku balas pertolongan kamu?”

“Persahabatan yang tulen tidak menuntut apa-apa, tuan. Sebagaimana tuan juga tidak pernah menuntut apa-apa dari saya sebaik tuan membebaskan saya dari perangkap itu”.

Kata-kata sang tikus itu sangat mengharukan perasaan. Ia begitu tulus dalam kehidupannya. Ia membantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hidup baginya bukan untuk diri-sendiri. Hidup adalah untuk kebaikan bersama. Segala suka dan duka ditanggung bersama. Bukannya seperti enau dalam belukar yang hanya mahu melepaskan pucuk masing-masing.Sang tikus berlalu pergi dengan lambaian persahabatan.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga. Aku perlu bergerak cepat sebelum disedari keluarga Kak Limah. Aku mengekori sang tikus dengan niat untuk meniarahi keluarganya buat kali terakhir. Dalam perjalanan aku memeta rancangan. Rancangan yang ku anggap paling berkesan adalah melarikan diri dari rumah Kak Limah sekali lagi. Tetapi ada beberapa penambahan perlu dilakukan. Jangan mudah tunduk dengan perasaan rindu pada Kak Limah. Kerana itu nanti akan mengundang mudarat yang bukan kepalang. Jadi pergilah berkelana sejauh mungkin. Cuma jika rindu bertasbih pulanglah sekejap menjenguk Kak Limah meskipun hanya dari hujung simpang.

Selepas bersalaman disusuli dengan dakapan persahabatan aku meninggalkan sang tikus dengan keluarganya. Malam ini aku mempelajari banyak perkara tentang kehidupan. Ia membuatkan aku lebih matang berbanding hari semalam. Aku meredah kedinginan dan kegelapan malam tanpa satu pun arah tujuan. Aku mematikan langkah seketika dan memejamkan mata untuk melihat ke dalam diriku. Betapa aku dapat melihatnya dengan jelas. Aku adalah seekor kambing yang sedang berjuang dalam dunia dan kehidupanku untuk hari yang seterusnya.

____________________________________________________________________


( cerita ini tidak bersandarkan dunia realiti. Ia adalah sekadar imaginasi penulis semata-mata)

EHB2011

Sabtu, 3 September 2011

CERPEN.

BICARA SANG FIKIR.
OLEH:EDRIS HJ.BIJIN

Lihat itu apa yang tergantung di sudut dinding.Beberapa buah catan yang berhabuk dan nampak terbiar. Malah ada dua atau tiga catan yang sedang tergantung tanpa tajuk. Tidak terurus. Ia seperti sebuah kehidupan yang tewas oleh perjalanan masa. Dan sebuah catan yang masih tersangkut di atas easel itu juga tidak pernah selesai. Mungkin sudah lima atau enam bulan keadaannya begitu. Catan itu masih belum kelihatan tanda-tanda untuk menjadi sebuah karya. Ia tidak mungkin berupaya menceritakan sebuah kehidupan selagi ia tidak diberikan nafas. Apa yang dapat memberikan nafas padanya. Mungkinkah dengan titik dan garisan, ruang, bentuk, warna dan cahaya. Atau adakah itu masih tidak mencukupi. Apakah ada elemen-elemen lain yang patut menjadi pelengkap sehingga sempurnanya sebuah karya. Nafas itu bermakna kehidupan.Siapa yang patut memberinya kehidupan? Kehidupan yang akan mewarnai catan yang sedang sakit ini?

Sesungguhnya Fikir amat simpati melihat keadaan tuannya yang sedemikian itu. Tuannya seperti seorang yang sedang kehilangan sesuatu yang berharga dalam kehidupannya. Kehilangan itu menjadikan dirinya tumpul untuk meneruskan hidup dalam karyanya. Dan ini adalah satu hakikat yang tidak begitu menyenangkan Fikir. Dia perlu membantu dan merawat tuannya. Dengan keberhasilan usaha ini Fikir sangat berharap dia berupaya mengembalikan kehidupan tuannya sebagai seorang yang tajam pengamatan,kritis dan lebih pemikir dalam karya-karya yang dihasilkannya. Fikir merasakan itu adalah tanggungjawab yang wajib dilakukan untuk tuan yang dikaguminya itu.

Maka Fikir pun cuba berfikir semudah yang mungkin agar jawapannya pun nanti mudah ditemukan. Dan sepantas itu juga Fikir terfikir tentang Tangan. Pandangan asasnya bahawa tugas-tugas itu adalah tanggungjawab Tangan. Tangan itu adalah sang penari yang lincah. Kanvas itu lantai pentas yang telah sebati dengan kehidupannya. Maka sebab itulah si Tangan tangkas mempersembahkan apa jua lenggok dan rentak tarinya yang bagai tidak pernah mati kerana kehabisan langkah. Dia penari yang tersohor dan hampir seluruh hidupnya dihabiskan dengan melintuk-liukkan tubuhnya dengan calitan pelbagai warna yang memberi nafas kepada kehidupan sebuah karya. Betapa menyerlahnya kehebatan sang Tangan menari. Tarinya menggubah warna, mencipta bentuk, mencorak garisan, menyambung titik dan mengolah cahaya. Maka terpancarlah sebuah karya yang menjadi santapan mata dan minda. Demikianlah kelazimannya Tangan dan itu kedengarannya sangat mudah. Tetapi persoalannya semudah mana pada hakikat sebenarnya. Fikir menggelengkan kepala. Pandangan itu agak keterlaluan untuk Tangan dan tidak adil untuk kerabat yang lain.

Akhirnya Fikir mengambil keputusan untuk tidak terlalu mengagung-agungkan kehebatan sang Tangan. Tangan bukanlah sesempurna mana. Dia bukan siapa-siapa. Dia tak akan dikenal sebagai penari yang lincah untuk tarian yang indah tanpa rentak yang hebat. Rentak dan gerak yang hebatlah membuatkan si Tangan kelihatan seperti alunan ombak yang sentiasa mesra dan indah membuai pandangan di atas permukaan birunya lautan.

Di mana lahirnya rentak dan gerak. Fikir masih terus bertanya diri. Rentak dan gerak menjadi nadi buat sang penari kelihatan hebat seperti luncuran sang burung yang terbang di awan. Ia meluncur dan terbang tanpa batas dan halangan. Ia ringan, lancar dan tiada rintangan. Dan itu tidak akan terjadi tanpa punca dan sumbernya. Fikir terus mengembara di dalam ruang fikirnya. Dan dia cuba melihat jauh ke dalam dirinya sendiri dan membuat perbandingan antara dirinya dan sang Tangan. Memang, Sejujurnya Fikir merasakan dan mengakui dirinya lebih baik berbanding Tangan. Dia berupaya membuat pertimbangan, mencari kewajaran dan memuktamadkan kata putus untuk apa juga keadaan. Namun hanya setakat itu saja. Segala pertimbangan, kewajaran dan keputusan yang dibuat tidak bermakna semuanya menjadi tepat. Kerana kadang-kadang ada ketikanya segala pertimbangan, kewajaran dan keputusan boleh tersasar dari hakikat yang sebenar. Dan itu bermakna sekalipun dia mengakui mempunyai kelebihan namun masih juga dibatasi dan mudah dipengaruhi oleh unsur—unsur lain yang menghalangnya daripada menggapai kesempurnaan. Dan semua itu turut mengganggu kerja-kerja tuannya. Dan Tangan tetap ada kelebihannya sendiri. Jikapun dia tiada upaya untuk berfikir tetapi dia tetap mampu untuk menjadi penyentuh dan pembelai yang terbaik dan menjadikan sebuah kehidupan penuh pesona.

Fikir terus diasak oleh dunia fikirnya. Fikirannya meluncur dengan agak pantas lebih pantas dari sebelumnya. Dan sepantas itu juga muncul lagi sebuah fikiran mutakhirnya.

Ilham lah yang menjadi penggerak utama memimpin Fikir mencipta rentak dan gerak untuk si Tangan. Ilham dan Fikir bagai penggubah yang menciptakan irama untuk sebuah lagu. Lagu tidak akan hidup tanpa irama. Ikatan lagu dan irama itulah menghasilkan sebuah rentak dan gerak nan indah. Dengan rentak nan indah menarilah si Tangan di atas sebuah kanvas yang menjadi pentas pada setiap waktu yang dia diperlukan untuk terus menari. Menari dan terus menari. Menari meneroka alam kehidupan yang luas tanpa batas.

Fikir kembali kepada dirinya. Cuba menilai semula fikirannya sebentar ini. Apakah dirinya adil ketika memberi kelebihan kepada ilham lebih sedikit berbanding dirinya sendiri dan juga sang Tangan itu. Apakah benar Tangan itu sekadar tangan yang hanya tahu menari mengikut rentak dan gerak yang dicipta oleh sang Fikir dari luncuran sebuah ilham . Fikir terus juga berfikir.

Dari mana datangnya makhluk bernama ilham kalau benar Ilham itu lebih tinggi kastanya berbanding dirinya dan juga sang Tangan. Apakah ia dari baka atau keturunan yang lebih genius berbanding dirinya sendiri dan Sang Tangan si penari yang lincah itu. Soalan itu sekarang sedang mengasak dan menuntut jawapan dari dalam dirinya sendiri. Maka Fikir terus saja berfikir-fikir. Terus meneroka alam fikirnya mencari logika.Kali ini fikirannya dilontarkan lebih jauh di luar kotak fikirnya berbanding sebelum ini. Dengan melontarkan fikirannya sejauh itu dia berharap akan mendapat jawapan yang jauh lebih baik dan akan memberikan manfaat kepada karya-karya tuannya.

Ilham? Bukankah ilham itu satu anugerah. Tidak semua orang diberikan anugerah ilham untuk mencipta karya seni. Anugerah untuk berkarya. Anugerah itu tidak dapat dicipta sendiri.Anugerah itu datang dari yang Maha Pencipta. Maka anugerah itu bukanlah milik yang hakiki. Ia bersifat sementara. Sementara masih dipinjamkan. Dia berhak menarik balik setiap anugerah yang diberikan—Nya jika Dia berkehendak begitu kerana Dia adalah Pencipta yang paling mutlak, lebih unggul dan tiada tolok bandingnya. Itu satu hakikat yang wajib diyakini.

Fikir masih terus dibuai alunan fikirnya. Dia merasakan luncuran fikirannya lebih lancar bagaikan alunan air sungai yang licik meloloskan diri di celah batu-batu yang berceracakan di mana-mana. Demikian dia merasakan alunan pemikirannya saat ini. Dan itu menjadikan alam pemikiran itu sesuatu yang indah dan berseni. Begitu dia terfikir apakah tuannya sudah takbur dan angkuh dengan anugerah yang dipinjamkan selama ini. Jika benar kengkuhan dan ketaksuban diri itu pernah wujud apatah lagi jika tidak pernah mensyukurinya nikmat yang dicurahkan-Nya selama ini ,maka memang ada asbab tuhan menarik semula anugerah yang dipinjamkan sementara itu. Tetapi mudah-mudahan tu itu tidak benar.Dan mahfum dari sebuah firman Allah dalam surah Ibrahim ayat tujuh pantas menggamit ingatannya. “Jika kamu bersyukur pasti akan aku tambah (nikmat-Ku) untukmu dan jika kamu kufur maka sesungguhnya siksa-Ku amat pedih". Dan tiga bahagian tentang syukur itu juga pantas menziarah ingatannya. Syukur dengan hati bermakna kepuasan batin terhadap anugerah itu, syukur dengan lidah bermakna melafazkan rasa syukur dengan mengakui anugerah dan memuji pemberian-Nya. Syukur dengan perbuatan bermakna memanfaatkan anugerah yang diperolehi sesuai dengan tujuan anugerah itu. Fikir terdiam agak lama. Merenung masa lalu dan cuba memuhasabah diri tuannya. Namun dalam diam dan merenung diri itu,belum juga ada jawapan yang jelas diketemukan tentang hal itu.

Dalam kebuntuan mencari jawapan, Fikir merasai saat ini dia diluncuri sebuah ilham kecil tentang satu himpunan kata-kata yang terbit dari dalam kotak fikirnya. Itu baru saja terjadi sebentar ini. Dan dia cuba menyusun kata-kata itu dalam bentuk ayat-ayat yang mudah untuk difahaminya.
“Siapalah tangan tanpa Fikir,siapalah Fikir tanpa ilham, siapalah ilham tanpa anugerah kerana anugerah adalah kunci yang hakiki”. Kata-kata yang indah dan penuh dengan makna. Begitu bisik Fikir kepada diri-sendiri. Satu kepuasan yang tidak terucap terhampar di ruang waktu yang ada di hadapannya.

“Semoga anugerah itu masih ada.” Ungkapan itu sekali lagi meluncur dari sebuah ilham yang kemudiannya singgah di qalbunya dan diterjemah menjadi sebuah doa yang ringkas tetapi sarat dengan harapan dan keyakinan.Dan doa itu dilafazkan dengan nada perlahan tetapi amat jelas untuk didengar.

Fikir tersenyum lega. Setidak-tidaknya dia sudah ada jawapan untuk dijadikan hujah jika nanti dia diasak dengan soalan sedemikian oleh kerabat terdekatnya. Simpati pada tuannya sentiasa ada sebagaimana tuannya masih merenung takdir yang sedang berlegar di dalam kehidupan sebuah catan yang belum selesai yang hingga ke saat ini masih tergantung di atas sebuah easel.

_____________________________________________________________________________________


GLOSARI:
Easel :kekuda/tripod tempat meletakkan kanvas ketika melukis.
Catan :Lukisan yang menggunakan medium cat (cat air, cat minyak, akrilik dll)

Pengikut

Mengenai Saya

Pages

Powered By Blogger